Dosa Tinggal Solat Lebih Besar Daripada Zina
Pada satu senja yang lengang,
kelihatan seorang wanita berjalan dalam keadaan terhuyung-hayang. Pakaiannya
yang serba hitam menunjukkan dia dicengkam kesedihan manakala kerudungnya
menutup rapat hampir seluruh wajahnya.
Walaupun tidak bersolek atau memakai
perhiasan lain di tubuhnya, kulitnya yang bersih, memiliki tubuh yang ramping
dan rona wajah yang ayu, tetap tidak dapat menghapuskan kepedihan yang sedang
membelenggu hidupnya.
Dia melangkah perlahan-lahan
mendekati rumah Nabi Musa a.s. Diketuknya pintu perlahan-lahan sambil
mengucapkan salam. Apabila terdengar ucapan ‘silakan masuk’ dari dalam, wanita
cantik itu melangkah masuk sambil kepalanya terus tertunduk.
Air matanya berderai ketika dia
berkata: “Wahai Nabi Allah, tolonglah saya, doakan saya supaya Tuhan berkenan
mengampunkan dosa keji saya,” “Apakah dosamu wahai wanita ayu?” tanya Nabi Musa
a.s. terkejut. “Saya takut mengatakannya,” jawab wanita cantik itu.
“Katakanlah, jangan ragu-ragu,” desak Nabi Musa.
Lalu wanita itu memulakan cerita,
“Saya….telah berzina.” Kepala Nabi Musa terangkat, hatinya tersentak. Perempuan
itu meneruskan, “Dari penzinaan itu, saya pun…. hamil. Setelah anak itu lahir,
langsung saya…cekik lehernya sampai…mati,” cerita wanita itu sambil menangis
sekuat-kuat hati.
Mata Nabi Musa berapi-api dan dengan
muka yang berang, dia mengherdik, “Perempuan jahat, nyah kamu dari sini! Supaya
seksa Allah tidak jatuh ke dalam rumahku kerana perbuatanmu. Pergi!” teriak
Nabi Musa sambil memalingkan muka kerana jijik.
Mendengar herdikan itu, wanita itu
pun segera bangun dan berlalu dengan hati yang hancur luluh. Ketika keluar dari
rumah Nabi Musa, ratapannya amat memilukan. Dia terfikir ke mana lagi dia
hendak mengadu kerana apabila seorang Nabi sudah menolaknya, bagaimana pula
manusia lain bakal menerimanya? Terbayang betapa besar dosanya dan jahat
perbuatannya.
Tetapi dia tidak tahu bahawa
sepeninggalannya, Malaikat Jibril turun berjumpa Nabi Musa. Lalu Jibril
bertanya: “Mengapa engkau menolak seorang wanita yang hendak bertaubat dari
dosanya? Tidakkah engkau tahu ada dosa yang lebih besar daripadanya?”
Nabi Musa terperanjat. “Dosa apakah
yang lebih besar dari kekejian wanita penzina dan pembunuh itu?” tanya Nabi
Musa kepada Jibril. “Betulkah ada dosa yang lebih besar daripada perempuan
yang nista itu?” “Ada,” jawab Jibril dengan tegas. “Dosa apakah itu?”
tanya Nabi Musa lagi. “Orang yang meninggalkan solat dengan sengaja dan tanpa
menyesal. Orang itu dosanya lebih besar daripada seribu kali berzina.”
Mendengar penjelasan itu, Nabi Musa
kemudian memanggil wanita itu untuk menghadapnya semula. Dia mengangkat tangan
dengan khusyuk untuk memohon ampunan kepada Allah S.W.T untuk wanita itu.
Nabi Musa menyedari, orang yang
meninggalkan sembahyang dengan sengaja dan tanpa penyesalan adalah sama saja
seperti berpendapat bahawa sembahyang itu tidak wajib dan tidak perlu ke atas
dirinya. Bererti, dia seakan-akan menganggap remeh perintah Allah, bahkan
seolah-olah menganggap Allah tiada hak untuk mengatur dan memerintah hambaNya.
Sedangkan orang yang bertaubat dan
menyesali dosanya dengan bersungguh-sungguh bererti masih mempunyai iman di
dalam dada, yakin bahawa Allah S.W.T itu ada dan berada di jalan ketaatan
kepadaNya. Itulah sebabnya Allah pasti mahu menerima taubatnya.
Comments
Post a Comment