Rahsia HinDAri KEMArahan

Rahsia hindari kemarahan

Anda sakit hati, tak puas hati, bengang dan marah pada seseorang? Rileks, rileks. Jangan terlalu ikutkan nafsu, perasaan dan emosi anda. Sebab, kalau anda bengang atau marah macammana sekalipun, ianya tak akan membantu apa-apa. Ia hanya akan merumitkan lagi keadaan. Hati bertambah sakit, dan mungkin ada orang akan terluka dengan sikap kita. Jadi, cubalah kawal perasaan marah walaupun ianya amat sukar sebenarnya.

Baiklah, dalam entri kali ini saya ingin berkongsi dengan anda sebuah kisah yang berkaitan dengan ‘marah’, yang berlaku semasa zaman Nabi SAW dulu. Cuba baca kisah ini dan ambil lah pengajaran daripadanya.

ABU Hurairah dan Said Al-Magburi meriwayatkan: “Ada seseorang lelaki memarahi Saidina Abu Bakar. Ketika itu Rasulullah duduk di sebelahnya. Nabi diam saja, begitu juga Abu Bakar.

Selepas orang itu selesai memaki hamun dengan mengeluarkan kata-kata kesat, Abu Bakar membalas makian itu, tetapi Rasulullah bangun dan beredar dari situ. Abu Bakar hairan dan terus mengekori Nabi Muhammad sambil berkata: “Ya Rasulullah, dia memaki saya dan engkau pula diam. Ketika saya menjawab maki hamun itu, tiba-tiba engkau bangun lalu pergi.”

Rasulullah lantas menjawab: “Sesungguhnya malaikat mengembalikan semua makian orang itu kepadanya ketika engkau diam, tetapi ketika engkau membalas makian itu, maka malaikat pergi dan syaitan pula masuk dan saya tidak suka duduk bersama syaitan.”

Rasulullah kemudian bersabda lagi: “Allah akan memuliakan hamba-Nya ketika sedang dianiaya lalu memberikan kemaafan sambil mengharapkan keredhaan Allah.”

Abu Said al-Khurdi pula berkata: Rasulullah ada bersabda: “Awasilah diri kamu daripada sifat marah kerana marah itu menyalakan api dalam hati anak Adam.”

“Maka sesiapa yang berasakan demikian ketika berdiri, hendaklah dia duduk dan jika dia duduk hendaklah ia berbaring.”

Abu Hurairah al-Bahili berkata bahawa Rasulullah pernah bersabda: “Sesiapa yang sedang marah tetapi dapat menahan marahnya dengan sabar, maka Allah akan mengisi hatinya dengan keredhaan pada hari kiamat.”

Setelah membaca entri ini, marilah kita sama-sama berazam untuk mengawal perasaan dan emosi kita daripada marah. Sesungguhnya marah itu hanya akan mendatangkan keburukan kepada kita.

Kalau kita berasa nak marah lagi selepas ini, cubalah ingat kisah yang berlaku antara Saiyidina Abu Bakar Radhiallahu’anhuma dan Rasulullah SAW seperti di atas.

Comments

Popular Posts